Isnin, 11 April 2016 | 11:59pm

Episod terbaru Descendants of the Sun tarik 2.3b penonton

WATAK dalam drama Korea Selatan, 'Descendants of the Sun'.
WATAK dalam drama Korea Selatan, 'Descendants of the Sun'.

SEOUL: Drama paling berkuasa Korea Selatan, 'Descendants of the Sun', melakukannya sekali lagi. Sudah menjadi drama paling banyak diperkatakan di Asia tahun ini, ia juga menjadi drama Hallyu paling banyak ditonton sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Akhbar Yonhap melaporkan, di China, di mana drama itu disiarkan pada hari sama di Korea Selatan, jumlah carian Weibo untuk drama itu mencecah 10.3 bilion.

Descendants of the Sun menjadi amat popular dalam negara sehingga episod Khamis lalu meraih 2.3 bilion tontonan menerusi platform video dalam iQiYi sehingga Sabtu lalu.

Ia juga merekodkan 5.6 bilion tontonan dalam indeks iQiYi, yang mengukur berapa banyak dan berapa lama video dimainkan.

Kedudukan itu adalah 300 juta mata di atas kedudukan tertinggi untuk My Love from the Star, sebuah lagi drama Korea tahun 2013 yang turut menjadi fenomena ketika itu.

Akhbar Korea Herald melaporkan, platform video dalam talian itu adalah satu-satunya penyiar drama KBS di China.

Tidak perlu dinyatakan lagi, drama hit itu menyebabkan aktor utamanya menjadi terkenal, terutama Song Joong Ki, yang memegang watak seorang kapten dalam pasukan khas tentera Korea Selatan.

Peminat yang fanatik mencari di mana ibu bapa Song tinggal dan pelancong sejak itu mengunjungi rumah keluarga pelakon berkenaan di bandar Daejon, berharap melihat kelibat bintang berusia 30 an itu.

Ketika 16 episod drama itu hampir sampai ke penghujungnya, peminat mula memastikan watak kegemaran mereka terus hidup, dengan mengambil gambar rasmi Descendants of the Sun, menulis cerita peminat serta melukis karikatur watak siri terbabit.

Malah, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-ocha juga tertarik dengan drama itu dengan menggesa rakyatnya menonton drama berkenaan yang dilihatnya "memiliki semangat patriotisme, pengorbanan, mematuhi arahan dan menjadi warga patuh."

Dua episod terakhir Descendants of the Sun akan disiarkan pada 13 dan 14 April ini. Satu siri khas tiga bahagian juga akan ditayangkan selepas itu. -Agensi

Berita Harian X