Selasa, 29 March 2016 | 7:54am

Filipina pamer barang kemas Marcos, ingatkan gejala rasuah

GAMBAR fail pada November 2015 menunjukkan pegawai Suruhanjaya Presiden Mengenai Kerajaan yang Baik (PCGG) memegang satu daripada barang kemas yang dirampas oleh kerajaan Filipina daripada bekas isteri Marcos, Imelda di Manila. - Foto AFP
GAMBAR fail pada November 2015 menunjukkan pegawai Suruhanjaya Presiden Mengenai Kerajaan yang Baik (PCGG) memegang satu daripada barang kemas yang dirampas oleh kerajaan Filipina daripada bekas isteri Marcos, Imelda di Manila. - Foto AFP

MANILA: Pihak berkuasa Filipina mengadakan pameran barang kemas milik bekas diktator Ferdinand Marcos dan keluarganya secara dalam talian untuk mendidik generasi baru mengenai gejala rasuah era itu.

Entri di Facebook dan Twitter oleh Suruhanjaya Presiden Mengenai Kerajaan yang Baik (PCGG) itu dibuat ketika keluarganya cuba kembali semula ke arena politik dalam pilihan raya pada Mei.

"PCGG akan memuat naik entri barang perhiasan terpilih untuk dipamer dan mengingatkan generasi masa kini mengenai sikap keterlaluan dan boros keluarga Marcos sepanjang dua dekad pemerintahan diktator itu," kata agensi anti-rasuah di laman webnya.

"Pameran Barang Kemas Maya" itu bermula pada pertengahan Mac dengan mempamer barangan berharga yang ditemui selepas diktator itu digulingkan pemberontakan popular yang disokong tentera pada tahun 1986.

Marcos dan isterinya Imelda dituduh mengumpul kekayaan peribadi secara besar-besaran sepanjang pemerintahan sedangkan negara terus dibelenggu kemiskinan.

Ferdinand Marcos Jr, yang sebelum ini dilantik sebagai ahli Dewan Negara, kini bertanding untuk Naib Presiden.

Imelda Marcos pula mencuba dalam pemilihan semula Kongres manakala anak perempuan sulungnya Imee adalah gabenor di utara. - Agensi

Berita Harian X