Isnin, 28 March 2016 | 1:28pm

Angka korban serangan bom Lahore 72

ANGGOTA keselamatan rasmi Pakistan mencari bukti di lokasi pengeboman di Lahore. - Foto AFP
ANGGOTA keselamatan rasmi Pakistan mencari bukti di lokasi pengeboman di Lahore. - Foto AFP

LAHORE: Angka korban akibat pengebom bunuh diri kini meningkat 72 orang, termasuk kanak-kanak, di sebuah taman yang sesak dengan pengunjung bersempena cuti Hari Easter semalam.

Lebih 200 lagi cedera apabila terkena bahan letupan sarat bebola besi dekat taman permainan kanak-kanak di taman riadah dekat Lahore, mengakibatkan berpuluh mati atau cedera.

Pegawai kanan polis, Haider Ashraf mengesahkan jumlah korban setakat ini 72 orang, dengan sekurang-kurangnya lapan daripadanya kanak-kanak.

"Penganut Kristian bukan sasaran utama serangan ini kerana majoriti yang mati beragama Islam," katanya.

Pegawai pentadbiran atasan Lahore, Muhammad Usman pula memberitahu mangsa yang cedera 233 orang.

Lewat semalam, pegawai penyelamat menganggarkan bilangan yang cedera melebihi 300 orang.

Terdahulu, Usman berkata pengebom itu meletupkan dirinya berhampiran kawasan permainan kanak-kanak dekat dengan buaian."

Sekolah dan institusi kerajaan yang lain dibuka walau kerajaan mengumumkan tiga hari berkabung di wilayah Punjab, ibu negara Lahore, kata Pesuruhjaya Abdullah Sumbal.

Serpihan puak Taliban Pakistan mengaku melakukan serangan itu, menurut laman web Express Tribune.

"Kami mengaku bertanggungjawab menyerang penganut Kristian kerana mereka meraikan Hari Easter," kata seorang jurucakap Jamaatul Ahrar yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun polis hari ini masih tidak dapat mengesahkan dakwaan itu. - AFP

Berita Harian X