Selasa, 15 March 2016 | 9:08pm

Indonesia beri amaran risiko kebakaran akibat cuaca kering

JAKARTA: Indonesia menjangkakan keadaan cuaca lebih kering berbanding kebiasaan di beberapa kawasan mudah terbakar dan wilayah jerebu di barat dan tengah Indonesia.

Agensi Cuaca Negeri (BMKG) berkata, keadaan itu dijangka berlaku terutama pada Mac dan April, ia merujuk kepada peningkatan jumlah kebakaran dan titik panas sejak mutakhir ini.

"Riau berpotensi menerima sedikit hujan pada Mac dan April, sudah pasti potensi berlaku kebakaran adalah tinggi," kata Ketua Klimatologi BMKG, Mulyono Rahadi Prabowo kepada pemberita.

Beliau merujuk kepada wilayah di pantai timur tengah Sumatera dan turut mengingatkan kawasan di Kalimantan Timur (di sebelah timur Pulau Borneo) bersiap sedia kemungkinan berlaku kebakaran hutan.

Kebakaran dan jerebu terburuk berlaku pada 2015. Ia susulan musim kering yang berpanjangan disebabkan keadaan cuaca El Nino, hingga menyebabkan negara jiran seperti Singapura dan Malaysia menjadi mangsa jerebu.

Thailand turut merasai kesan jerebu terbabit. - AGENSI

Berita Harian X