Rabu, 9 March 2016 | 10:45pm
FOTO hiasan. - Sumber Daily Mail
FOTO hiasan. - Sumber Daily Mail

Wanita China hampir buta tonton drama Korea tanpa henti

BEIJING: Penglihatan seorang wanita muda China rosak teruk selepas menonton drama Korea tanpa henti di tabletnya hujung minggu lalu.

Media China melaporkan, wanita dikenali sebagai Huang berusia 20-an itu menonton 18 episod sejam setiap satu tanpa henti dan hanya berehat dua kali untuk makan.

Walaupun mengalami rasa tidak selesa pada matanya, dia tetap menghabiskan tontonan drama maraton itu.

Kelmarin, Huang bangun pagi dan berasa sakit teramat pada mata serta loya.

Selepas membuat pemeriksaan di jabatan oftalmologi Hospital Nanjing, doktor mendapati keadaan wanita muda itu lebih teruk berbanding tekanan biasa pada mata.

Huang didiagnosis dengan glaukoma akut, keadaan di mana tekanan meningkat dalam mata menyebabkan seseorang itu boleh menjadi buta.

Menurut Pusat Mata Nasional Singapura, gejala lain glaukoma akut termasuk mata merah, pening kepala dan loya.

Sina News melaporkan, penglihatan Huang terjejas akibat terdedah kepada tempoh lama melihat skrin tablet pada jarak dekat. Lebih buruk lagi, dia tidak menyalakan lampu ketika menonton drama itu pada waktu malam.

Sementara itu, penemuan terbaharu Universiti Toho mendapati, seseorang individu yang melihat skrin komputer lebih sembilan jam sehari berisiko dua kali ganda mendapat glaukoma berbanding individu lain.

Mereka yang mengalami rabun jauh (miopia) juga didapati mendapat risiko meningkat keadaan itu. - Agensi

Berita Harian X