Khamis, 3 March 2016 | 9:11am

Penduduk dinasihat bertenang selepas gempa susulan di Sumatera

JAKARTA: Gegaran susulan berterusan menggegarkan Indonesia selepas gempa bumi kuat bawah laut mencetuskan kebimbangan berlakunya bencana sama seperti gempa bumi dan tsunami pada 2004 yang mengorbankan lebih 200,000 penduduk.

Gegaran susulan 5.6 magnitud, dan pada kedalaman cuma 10 kilometer, berlaku pagi ini kira-kira 784 kilometer ke selatan Padang di barat daya Sumatera, kawasan sama gempa bumi 7.8 magnitud berlaku pada malam Rabu, menurut Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Tiada laporan kematian atau kerosakan bangunan akibat gempa bumi bawah laut, yang menyebabkan panik di Padang apabila penduduk cuba berlari ke tempat tinggi berikutan amaran tsunami. Namun ia tidak berlaku.

Dengan siri gegaran susulan sepanjang malam dan pagi ini, pihak berkuasa Indonesia menggesa penduduk supaya bertenang.

Agensi Kaji Cuaca Kebangsaan berkata, ada enam gegaran susulan lemah sepanjang malam.

"Kami percaya gempa bumi lebih kuat akan berlaku. Jadi, penduduk diminta bertenang dan jangan percayakan khabar angin," kata agensi itu dalam Twitter.

Kebimbangan memuncak apabila saluran TV One melaporkan gempa bumi 8.2 magnitud dan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami.

Bagaimanapun, USGS mengurangkan ukuran kepada 7.8 dan dalam masa dua jam amaran tsunami ditarik balik. - Reuters

Berita Harian X