X
Rabu, 10 Februari 2016 | 8:25am
KETUA Majlis Olimpik Kebangsaan (NOCK), Kipchoge Keino. - Foto REUTERS
KETUA Majlis Olimpik Kebangsaan (NOCK), Kipchoge Keino. - Foto REUTERS

Virus Zika: Kenya mungkin tarik diri Olimpik Rio

NAIROBI: Kenya mencetuskan kekecohan apabila ketua jawatankuasa Olimpiknya berkata kontinjen negara itu mungkin menarik diri daripada Sukan Olimpik Rio kerana Zika tetapi pegawai berkaitan kemudian menyifatkan masih terlalu awal untuk memutuskan kesan virus berkenaan.

Virus berpunca daripada nyamuk yang merebak di Brazil dan dikaitkan dengan kecacatan kelahiran bayi, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan atlet dan pegawai sukan di seluruh dunia ketika mereka membuat persiapan temasya pada 5 hingga 21 Ogos itu di Rio de Janeiro.

Ketua Majlis Olimpik Kebangsaan (NOCK), Kipchoge Keino, berkata negara itu tidak mahu mengambil "risiko membawa atlet Kenya ke sana jika virus Zika mencapai tahap wabak" dan ingin mendapatkan jaminan daripada penganjur.

NOCK pula berkata, negara Afrika Timur sedang memantau ancaman kesihatan akibat penyakit itu dan menerima laporan perkembangan terkini.

"Masih terlalu awal untuk memastikan virus itu ketika Sukan Olimpik itu yang bakal tiba dalam enam bulan lagi," kata ketua kontinjen NOCK, Stephen Soi.

NOCK berkata, kenyataan Keino "mungkin dilaporkan di luar konteks."

Sementara itu, Menteri Sukan Kenya, Hassan Wario, berkata negara itu masih belum memutuskan sama ada menyertai sukan berkenaan selepas mesyuarat dengan pegawai kesihatan. - Agensi

Berita Harian X