Rabu, 20 Januari 2016 | 6:41pm

Anak lelaki Sarah Palin gaduh dengan teman wanita

SARAH Palin. - Foto REUTERS
SARAH Palin. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Anak lelaki Sarah Palin ditahan atas dakwaan keganasan domestik selepas berbalah dengan teman wanitanya ketika ibunya menyokong calon presiden Republikan Donald Trump.

Ketika pertelingkahan itu, Track Palin didakwa mengeluarkan raifal dan mengancam untuk menembak dirinya sendiri, menurut dokumen yang terbit pada hari sama Sarah Palin, calon naib presiden pada 2008, bekas Gabenor Alaska dan seorang peminat senjata menyokong usaha Trump untuk menjadi Presiden.

Track, 26, anak sulung Palin dan seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat di Iraq ditahan di pusat tahanan sebelum perbicaraan di Alaska, lapor agensi berita Anchorage Daily News.

Mengikut dokumen mahkamah yang tersebar di internet, Track yang mabuk bergaduh dengan teman wanitanya di rumah ibunya di Wasilla, Alaska lewat Isnin lalu.

Teman wanita Track menghubungi 911 dengan melaporkan 'seorang lelaki menumbuknya di muka, menurut satu afidavit polis yang difailkan di mahkamah.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Track Palin menghubungi 911 untuk melaporkan pemanggil wanita sebelum ini mabuk.

Ketika polis tiba, mereka menyoal siasat Track Palin 'yang kelihatan enggan bekerjasama, berkeras dan seolah-olah cuba mengelak kepada soalan.'

Mata kanannya cedera dan 'bau arak yang kuat pada nafas dan badan.'

Palin memaklumkan kepada polis bahawa dia dan teman wanitanya berbalah sepanjang malam selepas wanita itu berhubung dengan bekas teman lelakinya. - AFP

Berita Harian X