Jumaat, 15 Januari 2016 | 11:22pm
WAKIL Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama. - Foto AP
WAKIL Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama. - Foto AP

Michelle tidak bertanding sebagai Presiden: Obama

WASHINGTON: Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama, tidak akan bertanding sebagai presiden negara itu, tegas suaminya, Presiden Barack Obama.

Katanya, Michelle akan terus memperjuangkan isu seperti obesiti selepas mereka meninggalkan Rumah Putih Januari depan.

"Tidak. Tidak. Biar saya beritahu, ada tiga perkara yang pasti berlaku dalam kehidupan: kematian, cukai dan Michell tidak akan bertanding sebagai presiden.

"Itu saya boleh beri jaminan," katanya dalam pertemuan di Louisiana. Penggal kedua Obama akan berakhir pada 20 Januari 2017.

Penegasan 'tidak' dari Obama disusuli dengan tepukan gemuruh hadirin.

"Anda tahu sesuatu? Menerusi usaha yang dilakukan Wanita Pertama untuk mengurangkan obesiti di kalangan kanak-kanak, usaha yang dilakukannya bersama Jill Biden kepada keluarga anggota tentera dan memastikan mereka mendapat sokongan, cukup membanggakan saya.

"Saya pasti beliau akan menjadi bekas Wanita Pertama yang cukup aktif. Bukan saja Michelle akan menjadi bekas Wanita Pertama yang masih muda, tetapi tidak seperti saya, beliau kelihatan muda," katanya.

Obama melihat video perkahwinan mereka yang sudah menjangkau usia 23 tahun.

"Saya sedar, saya sudah berusia, namun tidak Michelle, beliau sama seperti dulu. Saya bangga dengannya kerana menjadi ibu hebat yang membesarkan anak saya dengan baik," katanya. -Agensi

Berita Harian X