Rabu, 23 Disember 2015 | 10:18pm

Indonesia hantar kapal perang cari mangsa feri hilang

AHLI pasukan penyelamat dan tentera memunggah mayat seorang mangsa feri tenggelam Marina Baru di hospital Shiva di Wajo, wilayah Sulawesi Selatan Indonesia. - Foto Reuters
AHLI pasukan penyelamat dan tentera memunggah mayat seorang mangsa feri tenggelam Marina Baru di hospital Shiva di Wajo, wilayah Sulawesi Selatan Indonesia. - Foto Reuters

MAKASSAR: Tentera Laut Indonesia akan mengerah kapal perang bagi menyertai pencarian 70 mangsa yang masih hilang selepas sebuah feri penumpang karam Sabtu lalu di perairan Sulawesi, menurut pihak berkuasa hari ini.

Feri The Marina Baru membawa 118 penumpang dan kru karam di Teluk Tulang ketika dalam perjalanan dari Kolaka di wilayah Tenggara Sulawesi ke bandar Siwa di Selatan Sulawesi.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat, Henry Bambang Soelistyo, berkata tentera laut akan mengerah kapal perang ke kawasan di mana sembilan kapal dan 15 bot nelayan sedang mencari mangsa.

Soelistyo berkata, sebuah helikopter dan pesawat CN-235 turut mencari dari udara ketika tentera dan polis memantau kawasan pantai.

Ketua agensi penyelamat tempatan, Alamsyah, berkata penyelamat menemui 41 mangsa masih hidup dan tujuh maut.

Mangsa terakhir diselamatkan adalah kapten bot yang ditemui tersangkut pada serpihan feri kelmarin, sementara empat mangsa maut ditemui semalam.

Feri gentian kaca itu dilaporkan karam selepas dibadai ombak lebih tiga meter ketika cuaca buruk. -AP

Berita Harian X