Sabtu, 21 November 2015 | 3:48pm

21 terbunuh lombong arang batu terbakar di China

SHANGHAI: Sekurang-kurangnya 21 terbunuh dalam kebakaran di lombong arang batu yang dikendalikan sebuah syarikat kerajaan China pada Sabtu, insiden terkini dalam sektor itu yang dilihat bermasalah.

Kebakaran bermula pada petang Sabtu di lombong itu yang dikendalikan syarikat gergasi, Longmay Mining Holding Group di Wilayah Heilongjiang, kata agensi berita Xinhua yang sebelum ini melaporkan 22 pelombong terperangkap.

Longmay adalah syarikat lombong terbesar di timur laut China, tetapi kini sedang bergelut dengan masalah kewangan, lapor akhbar perniagaan China Business News.

Lombong Xinghua, di mana kebakaran terjadi, terletak hampir dengan sempadan Russia.

Pasukan penyelamat setakat ini menemui 21 mayat dan sedang mencari seorang lagi pelombong.

Semuanya ada 38 pelombong bawah tanah ketika kebakaran terjadi dan 16 orang dapat menyelamatkan diri. Kebakaran dipercayai berpunca daripada tali sawat yang digunakan untuk mengangkut barangan.

Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran belum dipastikan kerana pihak berkuasa masih menyiasat. - AFP

Berita Harian X