X
Ahad, 8 November 2015 | 5:23pm

Jumlah kematian kilang runtuh di Pakistan meningkat 44

ANGGOTA tentera dan penyelamat membersihkan serpihan runtuhan ketika misi mencari dan menyelamat mangsa. - Foto AP
ANGGOTA tentera dan penyelamat membersihkan serpihan runtuhan ketika misi mencari dan menyelamat mangsa. - Foto AP

LAHARO, Pakistan: Angka kematian akibat runtuhan di sebuah kilang di timur Pakistan meningkat kepada 44, pada hari ini dengan penyelamat berkata, harapan untuk menemui mangsa terselamat semakin tipis.

Insiden berlaku berhampiran ibu kota Punjab di wilayah Lahore pada petang Rabu lalu, membabitkan sebuah kilang membuat beg politena setinggi empat tingkat.

"Sebanyak 41 mayat dijumpai dan tiga pekerja cedera diselamatkan hidup-hidup namun meninggal di hospital," menurut seorang pegawai pentadbiran atasan di Lahore, Muhammad Usman.

ANGGOTA penyelamat mengusung mangsa yang ditemui terperangkap di bawah runtuhan untuk dibawa ke hospital berdekatan. - Foto AFP
ANGGOTA penyelamat mengusung mangsa yang ditemui terperangkap di bawah runtuhan untuk dibawa ke hospital berdekatan. - Foto AFP

Katanya, 40 peratus daripada serpihan dari bangunan yang runtuh itu sudah dikeluarkan dan penyelamat meneruskan carian dengan keajaiban untuk menemui mangsa terselamat selepas 72 jam kejadian itu kelihatan sukar.

Semalam, pasukan penyelamat berjaya menarik seorang remaja lelaki hidup-hidup dari lokasi kejadian selepas terperangkap 50 jam dalam runtuhan struktur bangunan itu.

Remaja itu terperangkap sejak dua hari lalu, malah keluarganya beranggapan dia sudah mati.

Pihak berkuasa berkata, sekurang-kurangnya 150 orang berada dalam kilang itu ketika kejadian, bagaimanapun masih tidak jelas berapa ramai yang hidup dan terperangkap atau sudah meninggal.

Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif, berkata kilang terbabit mungkin mengalami kerosakan pada strukturnya ketika gempa bumi kuat 7.5 magnitud melanda negara itu bulan lalu, yang mengorbankan hampir 400 orang di seluruh Pakistan dan Afghanistan.

Menteri Buruh, Raja Ashfaq Sarwar, berkata siasatan bagi mencari punca runtuhan masih berjalan dan pihaknya akan menyiasat dari semua sudut, sementara laporan siasatan dijangka dikemuka dalam tempoh dua minggu. -AFP

Berita Harian X