Rabu, 4 November 2015 | 11:58pm

Polis Sepanyol tahan anggota kumpulan 'Pink Panther'

SALAH seorang anggota yang disyaki kumpulan pencuri batu permata antarabangsa 'Pink Panther' telah ditahan polis antarabangsa. - Foto ihsan http://worldwidediamonds.info/page/2/
SALAH seorang anggota yang disyaki kumpulan pencuri batu permata antarabangsa 'Pink Panther' telah ditahan polis antarabangsa. - Foto ihsan http://worldwidediamonds.info/page/2/

MADRID: Polis Sepanyol mengumumkan Rabu mereka menahan dua anggota disyaki kumpulan pencuri batu permata antarabangsa digeruni dikenali sebagai "Pink Panther."

Polis dalam satu kenyataan berkata, mereka juga menemui permata berharga bernilai lebih sejuta euro (RM4.65 juta) dicuri kumpulan itu daripada sebuah kedai barang kemas di pulau Fuerteventura, sebahagian Pulau Canary, Sepanyol dalam operasi sama.

Pihak berkuasa enggan memberikan maklumat lanjut, mengatakan perincian penuh akan diberi dalam sidang media Khamis di Las Palmas, ibu kota sebuah pulau di luar pantai Maghribi.

Anggota "Pink Panther", rangkaian penjenayah berselerak, berasal daripada lingkungan separa tentera di negara bekas Yugoslavia.

Menurut Interpol, kumpulan itu, yang gemarkan jam tangan mahal, melancarkan lebih 380 rompakan di kedai mewah di Eropah, Asia Barat, Asia dan Amerika Syarikat sejak tahun 1999, memperoleh harta rampasan bernilai lebih 330 juta euro (RM1.53 bilion).

Terkenal dengan rompakan menakjubkan, kumpulan itu memandu dua kereta ke dalam pusat beli belah di Dubai dan menerusi sebuah tingkap kedai permata pada tahun 2007, merompak barangan bernilai 11 juta euro (RM51.13 juta) dalam tempoh kurang seminit.

Tahun berikutnya, kumpulan itu berjalan keluar dengan barangan curi bernilai sehingga 85 juta euro (RM395.06 juta) selepas masuk ke dalam kedai permata Harry Winston di tengah Paris menyamar sebagai wanita.

Satu ketika dulu kerap terlepas, kumpulan itu berdepan rintangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan anggotanya ditahan di beberapa negara lain termasuk Perancis, Greece, Itali, Jepun serta Switzerland.

Kumpulan itu mendapat namanya selepas detektif British menemui cincin berlian disembunyikan dalam bekas krim muka, merujuk kepada insiden dalam filem komedi dibintangi Peter Sellers pada tahun 1963, "The Pink Panther." -AFP

Berita Harian X