Ahad, 1 November 2015 | 10:43am

Mesir imbas piramid guna sinar kosmik

KAHERAH: Sekumpulan pakar Mesir dan asing melancarkan cubaan baharu mendedahkan 'rahsia' piramid. Projek itu membabitkan pencarian ruang tersembunyi di dalam empat monumen terkenal zaman Firaun berkenaan, menggunakan termografi infra merah, imbasan 3D bersama laser serta pengesan sinar kosmik.

Saintis dan arkitek dari Mesir, Perancis, Kanada dan Jepun mahu memetakan dua piramid di Giza dan dua piramid Dahshur, di selatan ibu kota ini.

Teknologi sama, kata mereka, mungkin juga dapat membantu pencarian makam tersembunyi Tutankhamun yang mungkin milik Permaisuri Nefertiti.

Menteri Antikuiti Mesir, Mamduh al-Damati mengumumkan dalam sidang media, kumpulan khas itu akan mengkaji piramid berkenaan untuk melihat jika masih ada ruang tersembunyi atau rahsia di dalamnya.

"Jurutera dan arkitek ini akan menjalankan tinjauan menggunakan teknologi bukan pemusnah yang tidak akan menjejaskan piramid," katanya.

Pakar berkata, kajian itu dikenali sebagai 'Scan Pyramids' adalah cubaan baharu untuk memahami bagaimana monumen itu dibina pada asalnya.

Kebanyakan misi sebelumnya cuba untuk mendedahkan misteri di sebalik piramid, namun saintis masih belum menemui satu teori konkrit menjelaskan bagaimana struktur itu dibina.

Piramid Khufu, juga dikenali sebagai Piramid Agung Giza, tertinggi berbanding semua piramid, dibina oleh anak lelaki Snefru, pengasas dinasti keempat (2,575 hingga 2,465 Sebelum Masihi) dan piramid Khafre atau Chephren dibina oleh anak lelaki Khufu.

Dua piramid di Dahshur dibina oleh Snefru.

Pengasas Institut HIP berpusat di Paris, Mehdi Tayoubi, berkata idea projek itu ialah mencari penyelesaian terhadap misteri piramid.

"Satu cubaan sama dibuat 30 tahun lalu, namun ini adalah projek pertama di peringkat global menggunakan teknologi terkini bagi melihat persekitaran dalam piramid," katanya.

Projek 'Scan Pyramids' itu dijangka berlangsung hingga akhir tahun 2016.

Pakar arkeologi tidak pernah menemui mumia jelitawan lagenda itu (Nefertiti), namun pakar kaji purba British, Nicholas Reeves berkata dalam satu kajian baharu, makamnya mungkin berada dalam ruang rahsia bersambungan dengan makam Tutankhamun di Lembah Raja di Luxor, selatan Mesir.

Reeves, yang berada di Luxor September lalu untuk menyiasat teorinya, percaya satu pintu dalam kamar Tutankhamun mungkin mendedahkan makam Nefertiti.- Agensi

Berita Harian X