Rabu, 14 Oktober 2015 | 2:35pm

AS, PBB mengalu-alukan laporan akhir MH17

WASHINGTON DC: Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) "mengalu-alukan" laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda mengenai penerbangan MH17 Malaysia Airline yang ditembak jatuh tahun lalu di timur Ukraine.

"Kami mengalu-alukan penemuan penting Lembaga Keselamatan Belanda dalam laporan akhirnya mengenai penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang telah ditembak jatuh," kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara AS, Mark Toner dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Beliau berkata, laporan itu adalah keputusan daripada siasatan yang disiapkan dalam tempoh 15 bulan secara bebas, telus dan rapi mengikut Annex 13 Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa yang membabitkan sumbangan ramai pakar dari pelbagai negara termasuk AS," jelas Toner.

"Laporan (Lembaga Keselamatan Belanda) mengesahkan kata-kata awal Setiausaha Negara John Kerry lebih setahun yang lalu bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara BUK," katanya.

Beliau turut mengingatkan semula bahawa Kerry sudah menyatakan secara jelas bahawa AS ada mengesan peluru berpandu dilancarkan dari kawasan kawalan pemberontak Negara AS juga ada memperkatakan mengenai perbualan kalangan pemimpin pemberontak yang bercakap berdegar-degar mengenai perbuatan menembak jatuh pesawat terbabit sejurus kejadian tragik.

KOMBINASI gambar ketika Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra membentangkan laporan akhir MH17 di Gilze Rijen, Belanda semalam. - Foto AFP
KOMBINASI gambar ketika Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra membentangkan laporan akhir MH17 di Gilze Rijen, Belanda semalam. - Foto AFP

"Kami juga memberi perhatian mengenai cadangan Lembaga Keselamatan Belanda berkenaan pengendalian ruang udara semasa konflik bersenjata dan kami akan mengkajinya.

"Simpati dan ingatan kami kepada keluarga dan rakan mangsa MH17," kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara itu.

Sementara itu, seorang diplomat AS yang mengikuti reaksi Malaysia berhubung laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda berkata , Malaysia berhak menuntut kebertanggungjawaban pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata selepas Lembaga Keselamatan Belanda mendedahkan pesawat itu ditembak dengan peluru berpandu BUK dari wilayah dikuasai pemberontak di timur Ukraine, siasatan jenayah yang masih dijalankan perlu memberi jawapan tepat dan membenarkan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab itu.

Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK, semasa membentangkan laporan akhir.

Kepala peledak peluru berpandu itu meletup pada bahagian kiri kokpit pesawat itu.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di wilayah bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014, menyebabkan semua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, terkorban.

Lima negara iaitu Australia, Belgium, Malaysia dan Belanda mengusulkan secara rasmi pada 14 Julai 2015 menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) menubuhkan tribunal jenayah bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Bagaimanapun cadangan itu divetokan oleh Russia iaitu sekutu kepada pemberontak Ukraine pada 30 Julai.

Selari dengan reaksi AS, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut megalu-alukan laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda itu.

"ICAO dean negara-negara anggota telah bertindak balas selepas kejadian MH17 ini bagi mengatasi beberapa isu penting yang berkaitan," kata Presiden Majlis ICAO, Bernard Aliu dalam kenyataan.

"ICAO akan mengkaji cadangan yang berhubung pertubuhan kami dan bertindak balas seperti yang diperlukan bagi memastikan keselamatan pengangkutan udara dapat dipertahankan secara cara perjalanan yang paling selamat," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X