Selasa, 6 Oktober 2015 | 11:08am

Pesawat hilang di Sulawesi ditemui semula, semua maut

TENTERA Indonesia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat terhempas di Sulawesi Selatan. - Foto REUTERS
TENTERA Indonesia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat terhempas di Sulawesi Selatan. - Foto REUTERS

JAKARTA: Pesawat Twin Otter milik syarikat penerbangan Aviastar yang dilaporkan hilang di udara sejak Jumaat lalu, ditemui dalam keadaan hancur di kawasan di Bukit Pajaja, Kampung Ulu Salu, Daerah Luwu, Sulawesi Selatan.

Menurut siaran berita televisyen tempatan, semua 10 orang termasuk tiga anak kapal ditemui mati di tempat kejadian.

Bangkai pesawat itu ditemui oleh penduduk kampung yang turut membantu usaha mencari dan menyelamat selepas ia gagal dikesan selama empat hari.

Pesawat itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Masambar pada kira-kira 2 petang Jumaat lalu, dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dan tidak mendarat di Makassar, Sulawesi Selatan sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Sulawesi Selatan, Pudji Hartanto Iskandar dipetik sebagai berkata operasi sedang dijalankan untuk membawa keluar mayat mangsa.

Semua mangsa termasuk seorang bayi disahkan rakyat tempatan dan punca kejadian masih disiasat.

Masamba ialah ibu kota Luwu Utara iaitu bandar kecil di tepi sungai yang menjadi sempadan antara Sulawesi Tengah dan Sulawesi Barat. - BERNAMA

Berita Harian X