Isnin, 21 September 2015 | 11:46am

5 terbunuh serangan pengebom nekad Boko Haram di Cameroon

YAOUNDE: Dua pengebom berani mati menyerang sebuah bandar di utara Cameron, membunuh sekurang-kurangnya lima orang.

Sumber tentera berkata, serangan merentas sempadan itu dipercayai dilakukan kumpulan militan berpangkalan di Nigeria, Boko Haram.

Mereka yang terbunuh dalam serangan di wilayah Mora itu adalah seorang pegawai polis, dua orang awam serta dua wanita muda, yang juga pengebom berani mati, selepas dia bertindak meletupkan bahan letupannya kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan di kawasan Galdi berhampiran pintu masuk ke bandar.

Militan Boko Haram sudah berulang kali menggunakan khidmat pengebom berani mati untuk menyeberangi barat Cameroon di sempadan Nigeria di Far North Region bagi melancarkan serangan dan membunuh orang awam yang tidak bersenjata.

"Ia berlaku tidak jauh dari stadium bandar selepas pegawai polis yang terbunuh itu cuba untuk menjalankan pemeriksaan rutin," kata seorang pegawai tentera.

Beliau berkata, angka kematian akibat serangan itu juga dijangka meningkat. Wilayah Mora terletak hanya beberapa kilometer dari sempadan Boko Haram di timur laut Nigeria.

Sejak Julai, kira-kira 100 orang terbunuh dalam serangan berani mati di utara Cameroon.

Kumpulan militan yang berpusat di Nigeria ini juga turut menculik ramai kanak-kanak dan belia serta membunuh sekurang-kurangnya 15,000 orang dan lebih daripada dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Boko Haram telah meningkatkan serangan terhadap Chad dan Cameroon, selepas tentera dari dua negara terbabit sebelum ini melancarkan operasi terhadap kumpulan itu. - Agensi/BERNAMA

Berita Harian X