Sabtu, 15 Ogos 2015 | 8:05pm

Gempa bumi 6.6 magnitud gegar Kepulauan Solomon

SYDNEY: Gempa bumi kuat berukuran 6.6 magnitud menggegar Kepulauan Solomon hari ini, tetapi tiada ancaman tsunami, kata Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gempa bumi itu berlaku kira-kira 214 kilometer barat bandar Lata dan 460 kilometer dari ibu negara, Honiara.

"Berdasarkan semua data yang diperolehi, tiada ancaman tsunami akan melanda kawasan Pasifik itu," kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Kepulauan Solomon adalah sebahagian "Ring of Fire" Pasifik, zon aktiviti tektonik yang menyebabkan gempa bumi dan letupan gunung berapi.

Geoscience Australia turut mencatat bacaan gempa berkenaan pada 6.6 magnitud tetapi berkata, tiada laporan berkaitan kemusnahan dan kerosakan.

"Mereka mungkin terasa sedikit gegaran tapi tidak lebih daripada itu," kata pakar seismologi, Jonathan Bathgate.

Gempa bumi dasar laut berukuran 6.9 magnitud yang melanda Honiara pada Isnin tetapi tiada kerosakan serius.

Selain itu, gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda bulan lalu di kawasan pantai kepulauan berkenaan tetapi tiada laporan kerosakan.

Bagaimanapun, pada 2013, 10 orang terkorban dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah selepas pulau itu dilanda tsunami 8.0 magnitud. - AFP

Berita Harian X