X
Sabtu, 1 Ogos 2015 | 3:23pm

Ahli keluarga Bin Laden terbunuh dalam kemalangan pesawat di UK

ASAP tebal serta api marak kelihatan di tempat lelongan kereta di Selatan England yang menjadi tempat dimana pesawat Phenom 300 terhempas lalu membunuh pemandu serta tiga penumpang termasuk ahli keluarga Osama bin Laden. - Foto ihsan http://www.telegraph.co.uk/
ASAP tebal serta api marak kelihatan di tempat lelongan kereta di Selatan England yang menjadi tempat dimana pesawat Phenom 300 terhempas lalu membunuh pemandu serta tiga penumpang termasuk ahli keluarga Osama bin Laden. - Foto ihsan http://www.telegraph.co.uk/

LONDON: Ahli keluarga Osama Bin Laden adalah antara yang terbunuh dalam kemalangan jet di Britain semalam, menurut Kedutaan Arab Saudi di sini, hari ini, menerusi mesej ucapan takziahnya.

Empat disahkan maut apabila pesawat yang berdaftar di Arab Saudi itu, terhempas di atas kawasan lelongan kereta, di Selatan England, semalam sebelum terbakar.

Polis tempatan berkata, juruterbang dan tiga penumpang meninggal ketika jet Phenom 300 itu sedang cuba untuk mendarat di Lapangan Terbang Blackbushe di Hampshire. Tiada sebarang kecederaan dikesan berlaku di sekitar kawasan kemalangan.

Kedutaan Arab Saudi "merakamkan ucapan takziah kepada anak lelaki Mohammed bin Laden dan saudara maranya atas kejadian insiden pesawat terhempas yang membawa ahli keluarga mereka di Lapangan Terbang Blackbushe," mengikut kenyataan disiarkan menerusi akaun rasmi Twitter kedutaan berkenaan.

Bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti identiti mangsa yang terbunuh itu.

Kedutaan berkenaan juga memaklumkan, mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa British dalam siasatan berhubung kemalangan selain membawa pulang jenazah mangsa ke Arab Saudi.

Mohammed iaitu bapa kepada Osama Bin Laden adalah usahawan ulung dalam industri pembinaan dan beberapa keturunannya turut muncul sebagai ahli perniagaan berjaya menerusi pelbagai bidang.

Mohammed Bin Laden sendiri terbunuh dalam kemalangan pesawat di Arab Saudi pada 1967.

Anaknya, Osama, bekas pemimpin ulung kumpulan rangkaian militan Al-Qaeda pula, ditembak mati oleh pasukan tentera Amerika Syarikat di Pakistan pada 2011.

Pihak berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pesawat yang terhempas itu berdaftar di negara Teluk, selain menyatakan sedia bekerjasama dengan penyiasat British bagi mengenalpasti punca kejadian. - AFP

Berita Harian X