Selasa, 26 Mei 2015 | 2:45pm

Amaran tertinggi gelombang haba di India

ANGGOTA polis berteduh akibat gelombang haba yang melanda India. - Foto AFP
ANGGOTA polis berteduh akibat gelombang haba yang melanda India. - Foto AFP

NEW DELHI: Amaran peringkat tertinggi dikeluarkan di dua negeri, Andhra Pradesh dan Telangana, dengan angka kematian meningkat kepada lebih 750 orang akibat gelombang haba.

Menurut pegawai, sejumlah 551 orang meninggal dunia di Andra Pradesh, manakala baki 125 kematian dilaporkan di Telangana dalam tempoh 24 jam lepas.

Kebanyakan daerah di kedua-dua negeri itu terus mencatatkan suhu melebihi 46 darjah Celsius dan menurut Jabatan Meteorologi India keadaan cuaca semasa itu akan berterusan dalam beberapa hari lagi.

Pihak berkuasa di kedua-dua negeri menggesa orang ramai terutamanya buruh supaya tidak bekerja di kawasan terbuka antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

"Sebahagian besar mangsa adalah mereka yang terdedah kepada cahaya matahari, biasanya berumur 50 tahun dan ke atas serta kalangan pekerja," kata P Tulsi Rani, Pesuruhjaya Khas Jabatan Pengurusan Bencana Andhra Pradesh yang dipetik saluran berita NDTV.

"Kami meminta mereka supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan payung, memakai topi, minum cecair dalam jumlah yang banyak misalnya air dan susu masam, serta memakai pakaian daripada kain kapas," katanya.

Sementara itu, pegawai Jabatan Meteorologi India, Y K Reddy berkata sebahagian besar Telangana mengalami suhu panas paling buruk dalam beberapa dekad sejak beberapa hari lepas.

"Suhu tinggi bukanlah luar biasa tetapi ia berlarutan sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari. Ini amat membahayakan," katanya.

Beliau berkata, tiupan angin barat laut yang kering dan panas adalah punca berlakunya gelombang panas ini yang diburukkan lagi dengan keadaan langit tanpa awan di kawasan ini.

"Bagaimanapun, arahnya kini berubah, mungkin ada kelegaan dalam beberapa hari lagi," katanya.

Sementara itu, di Delhi cuaca paling panas direkodkan semalam ialah 45.6 Celsius menyebabkan tidak ramai yang berada di jalan raya utama.

Beberapa tempat di bandar raya ini dan kawasan sekitar, dengan penduduk berjumlah lebih 20 juta orang, mula mengalami gangguan bekalan air dan elektrik.

- BERNAMA

Berita Harian X