Khamis, 14 Mei 2015 | 7:55am
PEKERJA lombong mengangkat bag pasir untuk menghalang runtuhan ketika proses mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap. - Foto REUTERS
PEKERJA lombong mengangkat bag pasir untuk menghalang runtuhan ketika proses mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap. - Foto REUTERS

15 terperangkap dalam lombong emas di Colombia

BOGOTA: Sekurang-kurangnya 15 orang terperangkap apabila lombong emas tidak berlesen runtuh di barat Colombia, kata pihak berkuasa.

Anggota pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mengeluarkan mereka.

"Lombong emas itu runtuh selepas banjir berpunca daripada lubang yang dikorek untuk mengeluarkan emas. Sekurang-kurangnya 15 orang terperangkap," kata wakil agensi kecemasan UNGRD, Luis Pineros.

"Kami dalam proses mencari dan menyelamat," katanya. Seramai 50 anggota penyelamat dan perubatan berada di tempat kejadian.

Insiden berlaku di kawasan penduduk asli di daerah Riosucio.

Komander Jabatan Polis Caldas, Luis Duarte berkata, sebahagian pelombong terperangkap pada kedalaman kira-kira 17 meter dan selebihnya pada 10 meter.

Sehubungan itu, Agensi Perlombongan Negara (ANM) berkata, anggota bomba melaporkan gas di dalam terowong lombong mungkin menyebabkan runtuhan.

Perniagaan meningkat sejak beberapa dekad lalu di kalangan pelombong haram apabila harga emas meningkat daripada AS$400 kepada hampir AS$1,200 seaun.

Berdasarkan perangkaan kerajaan, Colombia adalah pengeluar emas utama dengan hasil lebih 55,000 kilogram pada 2013. - AFP

Berita Harian X