Ahad, 26 April 2015 | 8:25am

Gempa Nepal: Kerajaan rayu negara asing hantar bantuan

AHLI-AHLI pasukan petugas Virginia 1 sedang ,memeriksa alatan dan kelengkapan mereka di ibu pejabat sebelum gerakan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Nepal. - Foto AFP
AHLI-AHLI pasukan petugas Virginia 1 sedang ,memeriksa alatan dan kelengkapan mereka di ibu pejabat sebelum gerakan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Nepal. - Foto AFP

KATHMANDU: Kerajaan Nepal merayu negara asing menghantar bantuan bagi mengendalikan kesan gegaran gempa bumi yang kini mengorbankan hampir 1,400 orang.

Berikutan itu, angka kematian dijangka meningkat apabila anggota penyelamat terpaksa menggunakan tangan untuk mencari mangsa yang terselamat di celah-celah runtuhan hari ini.

Beribu-ribu orang berdepan suhu sejuk dan hujan apabila terpaksa tidur di kaki lima, taman atau padang di wilayah Kathmandu kerana terlalu takut untuk pulang ke kediaman selepas gempa bumi 7.9 magnitud menggegar negara itu pada tengah hari semalam.

"Kami sudah melancarkan operasi menyelamat secara besar-besaran dan pelan tindakan pemulihan serta banyak perkara perlu dilakukan.

"Negara kami sedang berdepan krisis dan kami memerlukan sokongan dan bantuan yang banyak," kata Menteri Penerangan dan Penyiaran, Minendra Rijal.

Polis berkata, angka kematian sudah mencecah 1,394 orang manakala kira-kira 4,700 cedera.

Lebih 630 orang terkorban di lembah Kathmandu dan sekurang-kurangnya 300 orang pula di ibu negara berkenaan.

Pendaki gunung warga asing dan juruarah warga Nepal di sekitar Gunung Everest terperangkap akibat gempa bumi berkenaan dan berdepan runtuhan salji.

Sebahagian daripada mereka menggunakan media sosial untuk menghantar pesanan bagi mendapatkan bantuan dan memberi amaran bahawa lebih ramai lagi mungkin terkorban.

Hospital di seluruh negara yang mempunyai 28 juta penduduk itu sedang bertungkus-lumus mengendalikan mangsa yang terkorban dan cedera akibat gempa bumi terburuk dalam tempoh 81 tahun dan kekurangan kelengkapan menyukarkan anggota penyelamat untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat dari celah runtuhan.

Sehubungan itu, Hospital Bir di Kathmandu menerima antara 300 dan 350 pesakit yang mengalami kecederaan parah dan kebanyakan daripada mereka terkorban.

Ahli paramedik, Dinesh Chaudhary berkata, hospital mengalami masalah bekalan dan terpaksa mendapatkan ubat-ubatan dari kedai.

"Lebih ramai pesakit dijangka sampai hari ini kerana baru sebahagian daripada sisa runtuhan dibersihkan," katanya.

Sementara itu, kakitangan Hospital Bhaktapur di pinggir Kathmandu, Ramesh Pokharel berkata, kira-kira 50 mayat berada di atas padang.

Katanya, doktor merawat pesakit dalam khemah di bangunan utama Hospital Bhaktapur dan kakitangan pula sibuk mengira atau mendaftar nama mangsa.

"Keadaan memang huru-hara di sini," kata Pokharel. - Reuters

Berita Harian X