MAKASSAR: Bahagian badan manusia dipercayai penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui penduduk di pesisir pantai Dusun Tatakko, Desa Tubo Tengah, Sulawesi Barat, hari ini.
Ketua Perhubungan Awam Polis Sulawesi Selatan, Endi Sutendi berkata, mayat yang ditemui warga tempatan dikenali Sudirman, 31, itu berada dalam keadaan tidak sempurna.
"Keadaan mayat yang terdampar itu kelihatan tidak sempurna, badan tanpa kepala, tangan dan kaki, ditemui pada jam 13.30 Waktu Indonesia Bahagian Tengah (WITA)," katanya kepada Detikcom.
Beliau berkata, bahagian badan itu kemudian dibawa ke Rumah Sakit Majene, sebelum dihantar ke Rumah Sakit Bhayangkara Makassar.
Jenazah terbaru ini adalah yang ketujuh ditemui di perairan Selat Makassar. Enam sebelum ini ditemui di Majene, Sulbar dan satu jenazah ditemui di pesisir pantai Suppa, Kab Pinrang, Sulawesi Selatan.
Selain badan jenazah, nelayan dan pasukan mencari dan menyelamat juga menemui serpihan pesawat dan barang milik penumpang QZ8501.
Semua jenazah yang berjaya ditemui sebelum ini sudah dibawa ke Surabaya untuk proses mengenalpasti oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polda Jawa Timur. -Detiknews.