Ahad, 7 Disember 2014 | 12:23pm

Gempa bumi 6.8 magnitud gegar Papua New Guinea

SYDNEY : Gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud melanda kawasan luar pantai Papua New Guinea, hari ini.

Bagaimanapun ahli seismologi Amerika Syarikat (AS) menjangkakan, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Peninjau kaji bumi AS berkata, gempa itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 116 kilometer berhampiran bandar Panguna di Pulau Bougainville, jam 11.22 pagi waktu tempatan.

Terdapat juga dua gempa susulan di kawasan Bougainville yang masing-masing berukuran 5.2 dan 5.0 magnitud.

"Mana-mana tsunami yang terhasil akan menjadi sangat kecil.. dan bersaiz kira-kira setengah meter," kata seorang ahli seismologi kanan di agensi Geosains Australia, Mark Leonard.

Data yang dikumpul secara berasingan oleh Geosains Australia pula merekodkan gempa bumi awal berukuran 6.7 magnitud dan berada pada kedalaman satu kilometer.

Leonard berkata, kawasan di selatan-barat Bougainville, yang menempatkan tanah luas paling dekat dengan zon gempa bumi itu, telah dimaklumkan tidak berpenghuni dan tiada laporan kerosakan.

Gempa bumi adalah biasa di Papua New Guinea, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik disebabkan kekerapan berlakunya aktiviti seismik yang disebabkan geseran di antara plat tektonik. -AFP

Berita Harian X