Selasa, 2 Disember 2014 | 4:35pm

Pengasas bantahan di Hong Kong serah diri

TIGA pengasas pergerakan prodemokrasi (dari kiri) Chan Kin-man, Benny Tai Yiu-ting dan Chu Yiu-ming, pada sidang media di Hong Kong, hari ini. - Foto AP
TIGA pengasas pergerakan prodemokrasi (dari kiri) Chan Kin-man, Benny Tai Yiu-ting dan Chu Yiu-ming, pada sidang media di Hong Kong, hari ini. - Foto AP

HONG KONG: Tiga pengasas pergerakan prodemokrasi 'Occupy Central' di Hong Kong akan menyerah diri kepada polis dengan menggesa penunjuk perasaan yang masih berada di jalan raya supaya menghentikan bantahan itu.

"Ketika kami membuat persediaan untuk menyerah diri, kami menggesa pelajar lain supaya berundur," kata pemimpin 'Occupy Central', Benny Tai dengan diiringi tangisan.

Ahad lalu, beratus-ratus penunjuk perasaan prodemokrasi bertempur dengan polis mengakibatkan berpuluh orang cedera.

Menurut Tai, ketiga-tiga mereka akan menyerah diri kepada polis esok selaras dengan kedaulatan undang-undang serta prinsip keamanan.

"Penyerahan diri bukan tindakan pengecut, ia adalah keberanian untuk bertindak berdasarkan janji. Menyerah diri bukan bermakna kegagalan, ia adalah pengisytiharan secara senyap mengenai sebuah kerajaan yang tidak berhati perut," kata Tai.

Beliau memuji keberanian pelajar yang berada di hadapan dalam tunjuk perasaan itu dan mengecam polis kerana tindakan di luar kawalan mereka.

"Sudah sampai masanya bagi penunjuk perasaan meninggalkan tempat yang merbahaya ini," tegasnya.

Tai, Chan Kin-man dan Chu Yiu-ming mengasaskan kumpulan 'Occupy Central' itu pada awal 2013 bagi mendesak pembaharuan politik tetapi tidak terbabit secara aktif apabila muncul kumpulan pelajar lain yang lebih radikal. - AFP

Berita Harian X