Selasa, 2 September 2014 | 9:15pm
AKTIVIS pro-demokrasi ditahan polis ketika tunjuk perasaan di luar hotel yang menjadi tempat penginapan anggota kanan Parlimen China, Li Fei di Hong Kong, hari ini. - Foto Reuters
AKTIVIS pro-demokrasi ditahan polis ketika tunjuk perasaan di luar hotel yang menjadi tempat penginapan anggota kanan Parlimen China, Li Fei di Hong Kong, hari ini. - Foto Reuters

Polis Hong Kong tahan 22 penunjuk perasaan pro-demokrasi

HONG KONG: Polis Hong Kong menangkap sekurang-kurangnya 22 orang dalam siri bantahan menyasarkan pegawai kanan China yang melakukan lawatan ke bandar raya itu, kata pihak berkuasa hari ini.

Bandar raya berkenaan terjebak dalam krisis politik selepas aktivis pro-demokrasi berikrar mengadakan bantahan di jalan raya di pusat kewangan berikutan keengganan Beijing memberikan hak mengundi secara bebas sepenuhnya kepada penduduk kepulauan itu.

Dalam kejadian yang tidak terfikir di tanah besar, Li Fei, anggota kanan Parlimen China, berdepan kemarahan penunjuk perasaan sepanjang lawatannya ke bekas jajahan Britain itu termasuk ahli perundangan yang mengganggu ucapannya kelmarin.

Li berada di Hong Kong bagi menjelaskan cadangan kontroversi China untuk mengawal sesiapa yang bertanding jawatan tertinggi dalam pilihan raya di bandar raya itu, keputusan yang mendorong aktivis pro-demokrasi memulakan apa yang disifatkan sebagai penentangan awam era baru.

Penunjuk perasaan berkumpul di luar hotel penginapan Li dengan pertempuran tercetus semula lewat petang kelmarin.

Pegawai polis melakukan 19 tangkapan di luar Hotel Grand Hyatt di daerah Wan Chai lewat kelmarin. Lapan belas penunjuk perasaan ditahan kerana berkumpul secara haram, menurut kenyataan. Seorang lagi ditahan kerana menghalang tugas pegawai polis.

Terdahulu pada hari itu, polis menggunakan penyembur lada terhadap penunjuk perasaan di pusat konvensyen di pinggir bandar, lokasi Li memberi ucapan yang dicemari gangguan penunjuk perasaan dan ahli perundangan prodemokrasi.

Tiga lagi ditangkap kerana membuat gangguan di tempat awam, kata polis, menambah mereka masih ditahan sehingga tengah hari semalam. -AFP

Berita Harian X