Rabu, 24 Mei 2017 | 1:07pm

MIMOS, NanoMalaysia, SIRIM sokong maju E&E

BANGUNAN SIRIM. - Foto hiasan/NSTP
BANGUNAN SIRIM. - Foto hiasan/NSTP

INDUSTRI elektrik dan elektronik (E&E) berjaya memberikan sumbangan ketara kepada kemajuan perindustrian Malaysia, pertumbuhan ekonomi, pendapatan eksport, pelaburan dan peluang pekerjaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Madius Tangau, berkata tahun lalu, kementerian memberikan perkhidmatan sokongan teknikal untuk menampung industri E&E menerusi agensi seperti MIMOS, NanoMalaysia dan SIRIM.

MIMOS giat membabitkan peserta industri dan institusi pengajian tinggi untuk melaksanakan program pembangunan sumber manusia dalam sektor perkhidmatan E&E, dengan penekanan dalam Analisis Kegagalan Termaju, Analisis Bahan dan Pengujian Wafer.

MIMOS juga kekal memanfaatkan pendekatan perkongsian perkhidmatan infrastruktur dalam usaha memberikan perkhidmatan tambah nilai dan sebagai pemboleh kepada ekosistem industri semikonduktor negara.

MOSTI yakin integrasi graphene dan bahan lain berasaskan teknologi nano mampu meningkatkan nilai serta prestasi aplikasi E&E.

Aplikasi dakwat konduktif

Pada 2016, NanoMalaysia membantu usaha mengaplikasikan dakwat konduktif berasaskan graphene dan penggunaan Copper-Carbon Nanotubes (Cu-CNT) dalam penghasilan produk LED syarikat HANS LED Systems.

NanoMalaysia juga menggalakkan penggunaan panel solar fotovoltaik dan sensor nano dalam industri pembiakan burung layang-layang dengan membiayai aktiviti pembangunan produk dan menyediakan penilaian bebas Harta Intelek (lP).

SIRIM pula menubuhkan Pusat Reka Bentuk Eko Perindustrian (EIDC) sebagai satu pemboleh rentas-sektor untuk memacu sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan ke arah kemampanan serta meningkatkan daya saing di pasaran global.

Kini, EIDC mempunyai empat mesin pencetak 3D yang mampu menghasilkan prototaip bagi pembuatan berskala kecil.

SIRIM juga menggalakkan pereka bentuk industri dan produk supaya bekerjasama rapat dengan EIDC untuk melahirkan pereka bentuk dan jurutera tempatan berkebolehan dalam reka bentuk mesra alam.

Berita Harian X