Selasa, 4 Julai 2017 | 8:51pm

Tiket bola jaring KL2017 habis dijual

PRESIDEN Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM), Datuk Suraya Yaacob (tengah) bergambar bersama pemain bola jaring di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Luqman Hakim Zubir
PRESIDEN Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM), Datuk Suraya Yaacob (tengah) bergambar bersama pemain bola jaring di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Pemain bola jaring negara mendapat tonik tambahan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos depan apabila tiket untuk menyaksikan acara itu di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara sudah habis dijual.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM), Datuk Suraya Yaacob berkata tiket yang laris dijual dalam hanya beberapa jam dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di pejabat Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 (MASOC), hari ini.

"Untuk makluman, semua tiket untuk menyaksikan sukan bola jaring sudah habis dijual. Ia dibuka pada jam 10 pagi dan sudah habis dijual pada jam 4 petang.

"Walaupun ada yang mengatakan bola jaring tidak ramai peminat, tetapi sebenarnya ramai yang menanti untuk menyaksikan sukan ini. Tiket yang sudah habis dijual ini sudah pasti memberi suntikan semangat kepada pemain untuk beraksi dengan baik di KL2017 nanti.

"Tapi ia juga akan ditayangkan secara langsung (live telecast) dari peringkat awal sehinggalah ke final dan kita juga akan memasang skrin di luar stadium bagi memastikan peminat gembira menyaksikan perlawanan," kata Suraya pada sidang media, petang tadi.

Sebanyak 380 tiket menyaksikan bola jaring di Stadium Juara yang mempunyai 1,000 kapasiti habis dijual, dan sukan itu adalah antara 19 jenis acara di KL2017 yang memerlukan pembelian tiket, manakala 32 acara sukan dapat disaksikan secara percuma.

Suraya sebelum itu melancarkan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang dan pengumuman nama atlet untuk KL2017, menerusi pengumuman itu 12 daripada 15 orang pemain disenaraikan menyertai Sukan SEA, dengan sembilan daripadanya adalah muka lama yang pernah beraksi di temasya sama di Singapura 2015.

"Kita akan teruskan latihan dengan 15 atlet sedia ada, senarai jangka masa panjang kerana permainan bola jaring amat lasak dan kemungkinan kecederaan berlaku itu tetap ada, oleh sebab itu kita kekalkan nama lain dalam latihan pusat sehinggalah Sukan SEA nanti," kata Suraya.

Pasukan bola jaring yang mula menjalani latihan di Stadium Juara semalam akan berlepas ke Melbourne, Australia Khamis ini, seterusnya dijadual menyertai Kejohanan Jemputan Malaysia atau Pra Sukan SEA (20 Julai) yang akan disertai empat pasukan iaitu Thailand, Taiwan dan pasukan senior serta remaja kebangsaan sebelum KL2017 membuka tirai.

Senarai pemain

1- An Najwa Azizan

2- Izyan Syazana Mohd Wazir

3- Norashikin Kamal Zaman

4- Karishma a/p S. Loganathan

5- Nur Fariha Abdul Razak

6- Pow Mei Foong

7- Nur Syafazliyana Mohd Ali

8- Puah Pei San

9- Noramirah Dayana Noor Azhar

10- Siti Nor Farhana Mustafa

11- Shandralelka Shanmugam

12- Yap Suo Kuen

Berita Harian X