Isnin, 10 Julai 2017 | 10:57am

Larian Obor KL2017 di Kuala Kangsar

AHLI Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid membawa obor bagi daerah Kuala Kangsar sempena Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Dataran Pavillion. - Foto Zulsyamini Sufian Suri
AHLI Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid membawa obor bagi daerah Kuala Kangsar sempena Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Dataran Pavillion. - Foto Zulsyamini Sufian Suri

KUALA KANGSAR: Kira-kira 200 peserta memeriahkan Larian Obor KL 2017 yang masuk hari keempat di Perak sempena Sukan SEA 2017 (KL2017).

Pelepasan peserta disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak, bersama Pengarah Belia dan Sukan Negeri, Tuan Abdul Rahim Tuan Bahru kira-kira jam 8.25 pagi.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Kangsar, Suriati Mat Daud berkata, larian bermula di Dataran Pavillion, di sini membabitkan jarak lima kilometer (km) mengelilingi bandar diraja berkenaan.

"Program turut diserikan dengan acara sampingan termasuk senamrobik, pertunjukan bakat dan sukaneka anjuran Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kuala Kangsar secara serentak di lokasi sama.

"Selepas selesai acara di Kuala Kangsar, obor akan dibawa ke Lenggong oleh ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor petang ini untuk diserahkan kepada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah bagi meneruskan larian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Larian di Kuala Kangsar tamat jam 9.40 pagi dan disusuli dengan aktiviti sampingan termasuk cabutan bertuah serta ucapan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Berita Harian X