Rabu, 5 Julai 2017 | 6:51pm

RSGC tawar pakej hadiah pukulan selubang RM250,000

KUALA LUMPUR: Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) yang berlangsung minggu depan, menawarkan pakej hadiah bernilai kira-kira RM250,000 bagi pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang.

Pengerusi penganjur, Datuk Yasmin Yusuff berkata, pakej hadiah itu termasuk kereta Mercedes A200, berlian Mouwad dan tiket penerbangan ke Los Angeles daripada Etihad Airways.

"Kita berharap edisi ke-43 kali ini akan ada pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang, sekali gus memenangi pakej hadiah yang ditawarkan itu.

"Sebelum ini, hanya dua pemain berjaya melakukannya sejak 42 edisi lalu dengan kali terakhir dimenangi dua tahun lalu oleh pemain berumur 12 tahun," katanya dalam sidang media di RSGC di sini, hari ini.

Yasmin berkata, penganjur juga menaikkan hadiah wang tunai keseluruhan daripada RM23,000 kepada RM30,000.

"Setakat ini 62 pemain daripada pasukan kebangsaan Vietnam, pemain amatur terkemuka India, Brunei dan Indonesia sudah mengesahkan penyertaan, menjelang tarikh tutup Ahad ini.

"Cabaran pemain tempatan pula akan diketuai juara bertahan, Loy Hee Ying dan seorang lagi rakan sepasukannya yang terpilih ke Sukan SEA, Nur Dhurriyah Damian," katanya.

Yasmin berkata, penganjur turut memberikan diskaun 50 peratus kepada pemain remaja Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) bagi yuran penyertaan bagi menggalakkan wanita muda bergiat aktif dalam sukan ini, dengan harapan negara mampu melahirkan juara dunia satu hari nanti.

Katanya kejohanan itu juga adalah kejohanan kelab golf dengan ranking tertinggi di Malaysia oleh Ranking Golf Amatur Dunia.

Berita Harian X