Ahad, 2 Julai 2017 | 8:36pm

Hafizh raih tempat ke-11 Moto2

PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Goh Thean Howe
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan saingan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, di kedudukan ke-11, sebentar tadi.

Hafizh ketinggalan 20.767 saat di belakang juara, Franco Morbidelli dari Itali yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 41 minit 05.137 saat.

Tempat kedua menjadi milik Miguel Oliveira manakala podium ketiga diisi oleh penunggang SKY Racing Team, Francesco Bagnaia.

Kedudukan ke-11 memberikan lima mata berharga buat penunggang PETRONAS Raceline Malaysia itu. Dia kini menduduki tangga ke-14 keseluruhan dengan 37 mata.

Seorang lagi penunggang negara, Khairul Idham Pawi di kedudukan terakhir daripada 26 pelumba.

Sementara itu, dalam kelas Moto3, Adam Norroddin menamatkan kedudukan di tangga ke-13, ketinggalan 16.234s di belakang juara, Joan Mir dari pasukan Leopard Racing yang menamatkan saingan dengan masa 39'34.775s.

Kedudukan itu memberikan tiga mata buat penunggang SIC Racing itu yang kini berkedudukan ke-21 keseluruhan dengan sembilan mata.

Ini adalah kedudukan terbaik Adam selepas hanya sekali memungut mata apabila berkedudukan ke-10 pada saingan GP Qatar di permulaan musim.

Berita Harian X