Jumaat, 30 Jun 2017 | 11:42pm

Nasib Hafizh, Khairul berbeza latihan bebas GP Jerman

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menduduki tangga ke-11 hari pertama Grand Prix (GP) Jerman dengan catatan sepusingan terpantas pada sesi latihan bebas pertama di Litar Sachsenring, sebentar tadi.

Pelumba PETRONAS Raceline itu melakukan catatan 1 minit 25.470 saat pada sesi latihan bebas pertama untuk menamatkan sesi berkenaan dengan berada di kedudukan kelapan terpantas.

Thomas Luthi dari pasukan CarXpert Interwetten mengungguli keputusan gabungan bagi kedua-dua sesi berkenaan dengan catatan sepusingan terpantas, 1'24.848s.

Pelumba dari Switzerland itu merekodkan catatan berkenaan pada sesi latihan bebas kedua manakala wakil tuan rumah dari pasukan Dynavolt Intact GP, Marcel Schrotter mencatat 1'24.894s untuk berada di belakang Luthi.

Sementara itu, Khairul Idham Pawi yang memenangi kelas Moto3 di sini tahun lalu sekadar berada di tangga ke-30 pada hari pertama pusingan kesembilan musim 2017 itu dengan catatan 1'27.562s.

Dalam pada itu, Adam Norrodin yang beraksi dalam kelas Moto3 tampak lebih bersemangat meskipun gagal kecewa di baki perlumbaan GP Belanda, minggu lalu.

Pelumba SIC Racing Team itu mencatat masa sepusingan terbaik 1'28.492s pada sesi latihan bebas kedua selepas merekod 1'29.834s pada sesi sebelumnya.

Catatan di sesi latihan bebas kedua itu membolehkan Adam menduduki tangga ke-15 terpantas bagi kedua-dua sesi berkenaan.

Pelumba Leopard Racing dari Sepanyol, Joan Mir mengungguli sesi latihan sebentar tadi dengan catatan 1'27.179s manakala Romano Fenati (Marinelli Rivacold Snipers) muncul kedua terpantas, 1'27.855s.

Berita Harian X