Khamis, 29 Jun 2017 | 6:32pm

Zii Jia lakar kejutan badminton Terbuka Taiwan

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuktikan dia jaguh dalam pembikinan apabila melakar kejutan menewaskan Siril Verma dari India untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Taiwan, sebentar tadi.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-108 dunia mencatat kemenangan 21-12, 21-16 ke atas pilihan ke-16 kejohanan itu dalam aksi pusingan ketiga yang berlangsung selama 28 minit.

Dia akan membuat perhitungan dengan pemain Thailand, Khosit Phetpradab bagi merebut tempat ke separuh akhir, esok.

Turut mara ke kelompok lapan terbaik ialah bekas pemain kebangsaan, Liew Daren yang mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan, Hsu Jen Hao 21-17, 21-17.

Daren yang juga juara Terbuka Perancis 2012 akan berdepan pemenang perlawanan antara dua pemain Korea Selatan, HA Young Woong dan Jeon Hyeok Jin pada aksi suku akhir.

Sementara itu, bintang muda negara, Goh Jin Wei turut mengesahkan tempat ke suku akhir dalam acara perseorangan wanita apabila mengatasi cabaran pemain Korea, Hyang Im Kim 21-6, 21-9 dan akan bertemu pemain tuan rumah, Pai Yu Po, esok.

Beregu lelaki, Low Juan Shen-Chooi Kah Ming dan beregu wanita, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen juga mara ke suku akhir selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing.

Juan Shen-Kah Ming menang ke atas gandingan tuan rumah, Shang Kai Lin-Yang Po-Hsuan 21-17, 21-18 manakala Yin Loo-Cheng Wen menewaskan pasangan Hong Kong, Wu Yi Ting-Yuen Sin Ying 21-16, 21-17.

Berita Harian X