Selasa, 27 Jun 2017 | 11:19pm

Isu Van Dijk: Liverpool terlepas tindakan disiplin

LONDON: Liverpool berkemungkinan terlepas prosiding disiplin selepas Southampton menuduhnya cuba mendapatkan khidmat tonggak pertahanan kelab itu, Virgil van Dijk secara tidak sah.

VIRGIL van Dijk. - Foto Reuters
VIRGIL van Dijk. - Foto Reuters

Liverpool mengendurkan minat mendapatkan Van Dijk dan memohon maaf secara terbuka kepada Southampton awal bulan ini, selepas media British melaporkan The Saints membuat aduan kepada badan induk Liga Perdana tindakan The Reds cuba memancing pemain kebangsaan Belanda itu.

Akhbar Times dan Daily Telegraph hari ini melaporkan Liga Perdana sudah menjalankan siasatan awal membabitkan pertikaian berkenaan sebelum menyimpulkan tiada cukup bukti untuk memulakan prosiding disiplin secara rasmi.

Liga Perdana enggan mengeluarkan komen membabitkan perkara berkenaan namun sumber memberitahu Reuters situasi tampak tidak akan berubah kerana tiada maklumat baharu diperoleh.

Berdasarkan peraturan pemindahan yang ketat, kelab hanya boleh berunding secara terus dengan pemain jika mereka tidak mempunyai kontrak atau yuran perpindahan sudah dipersetujui bersama penjual.

Selain itu, pendekatan secara tidak langsung melalui perantara juga tidak dibenarkan.

Southampton secara konsisten berkata mereka tidak berhasrat untuk menjual Van Dijk, yang tiba dari Celtic dengan nilai perpindahan 13 juta pound (RM71.18 juta) pada September 2015 sebelum menandatangani kontrak baharu selama enam tahun pada 2016.

Southampton mengemukakan aduan terhadap Liga Perdana selepas media British melaporkan Van Dijk memberitahu pengurus Liverpool, Juergen Klopp minatnya untuk menyertai kelab berkenaan.

Liverpool sering berjaya memikat pemain Southampton sejak beberapa musim lalu termasuk Adam Lallana, Dejan Lovren, Sadio Mane dan Nathaniel Clyne yang masih beraksi di Anfield.

Reuters

Berita Harian X