Selasa, 27 Jun 2017 | 9:06pm

Jackie Wong, Jonathan Neypa kebanggaan KOM

ATLET baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong, manakala gambar kecil pelari pecut negara, Jonathan Neypa. - Foto fail NSTP
ATLET baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong, manakala gambar kecil pelari pecut negara, Jonathan Neypa. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Atlet baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong nyata berada pada prestasi terbaik, selepas memperbaharui rekod kebangsaan miliknya ketika meraih pingat perak di Terbuka Korea, hari ini.

Wong mencatatkan balingan 65.34 meter (m) sekali gus melenyapkan rekod lama 64.95m yang dilakukannya ketika pertandingan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK), bulan lalu.

Jarak balingan Wong juga adalah yang paling jauh dalam kalangan atlet Asia Tenggara lain dalam tempoh setahun.

Selain itu, pelari pecut negara, Jonathan Neypa melengkapkan hari gemilang buat kontinjen negara selepas turut menyumbangkan satu lagi pingat perak ketika merakamkan catatan terbaik peribadinya, 10.28 saat (s) dalam acara pecut 100m.

Catatan Jonathan itu juga adalah catatan terpantas untuk tahun ini berbanding pencabar lain di Asia Tenggara.

Selain pemburuan pingat emas saingan individu, perkembangan terbaharu oleh Jonathan memberi keceriaan buat kuartet negara untuk cuba menghadirkan kilauan emas acara 4X100m pada Sukan SEA 2017.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim gembira dengan berita kejayaan atlet negara sekali gus membuka peluang memburu kejayaan di Sukan SEA.

"Jonathan buktikan kemampuannya juga seiring dengan Khairul Hafiz Jantan. Mereka mengatasi catatan Watson Nyambek dan nama mereka akan disenaraikan untuk aksi 100m Sukan SEA.

"Begitu juga dengan Jackie (Wong). Ia pasti satu kejayaan yang baik buatnya. Pencapaian ini beri harapan buat kontinjen negara perbaiki kedudukan dalam senarai negara Asia Tenggara lain, " katanya.

Keputusan

Baling tukul besi

1. Lee Ywunchul (Korea Selatan): 71.21m

2. Jackie Wong (Malaysia): 65.34m

3. Jang Sangjin (Korea Selatan): 63.80m

100m

1. Kim Kok Young (Korea Selatan): 10.07s

2. Jonathan Nyepa (Malaysia): 10.28s

3. Lee Jaeha (Korea Selatan): 10.41s

Berita Harian X