Ahad, 18 Jun 2017 | 1:31am

Zulfahmi terus bergelut di Misano

PENUNGGANG Supersport negara, Zulfahmi Khairuddin. - Foto Osman Adnan
PENUNGGANG Supersport negara, Zulfahmi Khairuddin. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Kebangkitan yang diharapkan penunggang Supersport negara, Zulfahmi Khairuddin pada sesi kelayakan pusingan ketujuh WSBK di Litar Misano, Itali semalam, tidak kesampaian.

Selepas mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas kedua kelmarin, penunggang pasukan Orelac Racing itu sekadar melakukan catatan ke-10 terpantas, 1 minit 40.822 saat pada sesi Superpole 1, sekali gus gagal layak ke sesi Superpole 2.

Catatan yang dilakukan penunggang kelahiran Banting, Selangor itu sekadar meletakkannya di petak ke-20 perlumbaan, hari ini.

Wakil Turki, Kenan Sofuoglu yang juga penyandang juara kategori Supersport melakukan catatan terpantas 1 minit 38.672 saat untuk memulakan perlumbaan di petak utama.

Ia diikuti penunggang Perancis, Jules Cluzel yang menunggang Honda di petak kedua, diikuti penunggang Itali, Federico Caricasulo yang melengkapkan tiga petak barisan depan.

Selepas berakhir enam pusingan, Zulfahmi terus gagal mencipta keputusan positif apabila hanya mengutip enam mata untuk berada di tangga ke-29 keseluruhan senarai pelumba.

Berita Harian X