Sabtu, 17 Jun 2017 | 11:13pm

KRM lulus cadangan kerjasama dengan All Blacks

PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Luqman Hakim Zubir
PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Luqman Hakim Zubir

SUBANG JAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) meluluskan cadangan mengadakan kerjasama dengan pasukan New Zealand dan Akademi Ragbi Antarabangsa New Zealand (IRANZ).

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata kedua-dua cadangan itu mendapat persetujuan sebulat suara dalam mesyuarat ahli majlis, hari ini.

"Mesyuarat hari ini tidak ada perkara baharu, cuma semua ahli bersetuju dengan rancangan yang kita cadangkan, perkara strategik yang perlu dilaksanakan, sebagai contoh persiapan pasukan 15 sebelah untuk berada dalam Divisyen Premier tahun depan.

"Mereka juga bersetuju dengan cadangan mengadakan kerjasama dengan New Zealand Union All Blacks dan IRANZ untuk membuka satu cawangan di Malaysia.

"Kerjasama antara pasukan Malaysia dan New Zealand adalah cadangan membabitkan dua hala secara dasarnya, bermakna ada masa kita perlu ke sana (New Zealand) dan ada masanya mereka datang ke sini," kata Shahrul pada Majlis Iftar KRM, hari ini.

Shahrul berkata, pihaknya juga bersetuju meneruskan khidmat penasihat teknikal pasukan 15 sebelah dan 7 sebelah dari New Zealand, Brad Mika dan Edwin Cocker, namun belum ada keputusan menggunakan khidmat mereka secara sepenuh masa.

"Mereka ketika ini berada hampir sepenuh masa dengan Kesatuan Ragbi Sabah dan kita turut mencadangkan agar mereka dapat luangkan masa lebih banyak bersama pasukan negara.

"Bagaimanapun perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut secara bersama kerana mereka turut mempunyai komitmen bersama pasukan kebangsaan New Zealand," katanya yang mengakui memerlukan penjadualan serta mencari formula terbaik bagi pembangunan ragbi negara.

Berita Harian X