Khamis, 8 Jun 2017 | 7:38am

Liverpool tak jadi dapatkan Van Dijk

VIRGIL van Dijk.- Foto Reuters
VIRGIL van Dijk.- Foto Reuters

LONDON: Liverpool memadamkan minat mereka untuk menandatangani pertahanan, Virgil van Dijk, kata kelab itu dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Keputusan itu sehari selepas laporan media British yang mengatakan pemain Southampton terbabit membuat laporan kepada Liga Perdana dengan mendakwa The Reds menyalahi peraturan dalam mendapatkan khidmatnya.

Liverpool mempunyai minat mendalam menandatangani pertahanan tengah Belanda dan pemain itu dilaporkan oleh media British awal minggu ini dengan memberitahu Juergen Klopp mahu dia menyertai The Reds.

Keputusan itu adalah perkembangan terbaru dalam jendela perpindahan terbesar membabitkan pertahanan dicari-cari itu dengan tawaran yang dikatakan mencecah 60 juta pound (RM331.29 juta) untuk berpindah dari St Mary.

"Kelab Bola Sepak Liverpool melahirkan rasa kesal terhadap spekulasi media berhubung Kelab Bola Sepak Southampton dan perpindahan pemain antara dua kelab," kata Liverpool dalam satu kenyataan menerusi laman sesawang kelab terbabit.

"Kami memohon maaf kepada pemilik, lembaga pengarah dan peminat Southampton terhadap salah faham membabitkan Virgil van Dijk.

"Kami menghormati kedudukan Southampton dan boleh mengesahkan yang kami sudah memadamkan minat kami terhadap pemain itu."

Liga Perdana mempunyai peraturan ketat membabitkan perpindahan, dengan kelab hanya boleh berunding mengenai terma dengan pemain jika mereka di luar kontrak atau apabila bayaran sudah dipersetujui dengan penjual.

Undang-undang itu juga mengawal pendekatan secara tidak langsung melalui orang tengah.

Southampton secara konsisten mengatakan mereka tidak berminat menjual Van Dijk, yang menyertai kelab itu dari Celtic dengan nilai 13 juta pound (RM71.78 juta) pada September 2015 dan menandatangani kontrak enam tahun pada 2016.

Berdasarkan rekod, Liverpool sering kali merampas pemain Southampton sejak beberapa musim ini dengan pemain The Saints, Adam Lallana, Dejan Lovren, Sadio Mane dan Nathaniel Clyne, semuanya beraksi di Anfield ketika ini.

Kesemua empat pemain itu menyertai Liverpool dengan perjanjian melebihi 100 juta pound (RM552.15 juta) untuk tempoh tiga tahun. - Reuters

Berita Harian X