Isnin, 5 Jun 2017 | 2:35pm

Tiket KL2017 mula dijual lepas Aildilfitri

KUALA LUMPUR: Tiket bagi menyaksikan pelbagai acara yang dipertandingkan, selain majlis pembukaan dan penutupan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan mula dijual selepas Aildilfitri.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong di sini, sebentar tadi.

KETUA Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Luqman Hakim Zubir
KETUA Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Kita baru memutuskan syarikat yang akan membantu kita mengendalikan urusan tiket.

"Kita sudah tetapkan beberapa jenis sukan yang kita akan kenakan tiket manakala sukan kurang popular tidak dikenakan bayaran kerana memerlukan sokongan penonton bagi memeriahkan kejohanan.

"Harga tiket masih dalam perbincangan, namun saya jamin ia tidak begitu mahal dan mampu dibayar peminat sukan nanti. Jika tidak ada halangan ia akan mulai dijual selepas sambutan Aidilfitri.

"Kita juga sudah menerima banyak tempahan daripada luar negara," kata Zolkples ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Inisiatif Hijau KL2017 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan di Taman Botani Perdana, hari ini.

Temasya Sukan SEA 2017 dijadual berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata antara sukan popular yang dijangka mengenakan bayaran tiket adalah akuatik, terjun, renang, renang berirama, karate, pencak silat, wushu dan bola sepak manakala tinju dan angkat berat adalah percuma.

"Fokus utama kita adalah sukan popular yang memberikan ruang untuk memenangi pingat emas seperti acara akuatik, terjun, renang berirama dan renang.

"Begitu juga dengan bola sepak dan sekiranya pasukan negara mampu mara ke peringkat separuh akhir, kita jangkakan kehadiran penonton melebihi 80,000.

"Kita mengenakan tiket kepada sukan yang berlangsung dalam dewan kerana khuatir tidak mampu menempatkan kehadiran penonton yang ramai, contohnya KLCC.

"Jadi jualan tiket akan menjadi salah satu cara kita mengawal penonton."

Dalam perkembangan sama, Zolkples menjangkakan kehadiran lebih daripada 70,000 penonton bakal menyaksikan upacara pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berita Harian X