Jumaat, 26 Mei 2017 | 10:41am

City lepaskan 4 tonggak

ANTARA pemain yang dilepaskan Manchester City, Gael Clichy (kiri) dan Jesus Navas.
ANTARA pemain yang dilepaskan Manchester City, Gael Clichy (kiri) dan Jesus Navas.

MANCHESTER: Pemain sayap Sepanyol, Jesus Navas dan pertahanan berpengalaman dari Perancis, Gael Clichy, mengetuai senarai pemain yang dilepaskan Manchester City.

Penjaga gol simpanan, Willy Caballero, yang terkenal dengan aksi menyelamat ketika menafikan tiga sepakan penalti Liverpool pada final Piala Liga 2016 juga akan meninggalkan kelab itu.

Rakan senegara Clichy, Bacary Sagna, turut tersenarai.

Kuartet itu menyertai Pablo Zabaleta, yang meninggalkan kelab terbabit selepas kontraknya bersama City berakhir.

Navas, 31, melakukan lebih 100 penampilan di Liga Perdana Inggeris sepanjang empat tahun menyertai pasukan itu dan muncul watak penting ketika musim 2013/14.

"Bekerjasama dengan Navas, sesuatu yang sangat mengujakan.

"Kerja kerasnya, dedikasi, sikap profesional dan keinginan untuk menang dapat dilihat setiap hari," kata Pengarah Bola Sepak City, Txiki Begiristain.

Sementara itu, Clichy meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan dua kali Piala Liga sepanjang enam tahun bersama kelab itu.

"Untuk meraih empat trofi utama dan membina kelab ini muncul sebagai satu pasukan terbaik, adalah perjalanan yang luar biasa.

"Saya bangga kerana menjadi sebahagian daripadanya," kata Clichy menerusi laman web kelab. - AFP

Berita Harian X