Sabtu, 20 Mei 2017 | 12:30pm

Moto3: Adam Norrodin makin selesa di Litar Le Mans

Gambar fail, pelumba Moto3 Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing ketika sesi latihan bebas ketiga di perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober tahun lalu. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Gambar fail, pelumba Moto3 Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing ketika sesi latihan bebas ketiga di perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober tahun lalu. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin melakukan kejutan apabila merekodkan masa terpantas pada hari pertama sesi ujian bebas Grand Prix (GP) Perancis, awal pagi tadi.

Penunggang SIC Racing itu melakukan catatan terpantas 1 minit 51.468 saat (s) dalam keadaan cuaca mendung di Litar Le Mans, namun prestasi sama tidak dapat diulang pada sesi ujian kedua selepas dia terjatuh ketika keadaan hujan.

"Saya merasa amat bermotivasi bagi minggu ini. Sesi latihan ujian di sebelah pagi berjalan dengan amat lancar sekali pun keadaan cuaca tidak begitu sempurna," kata pelumba berusia 18 tahun itu.

"Saya tahu yang saya perlu berada di kedudukan teratas sejak permulaan, jadi saya hanya kekal fokus dan terus berusaha keras. Penting bagi saya untuk mendapatkan keyakinan seawal ini," katanya.

Sementara itu, penunggang Moto2 negara dan beraksi bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah melakukan masa ke-15 terpantas ketika kedua-dua sesi ujian kelas pertengahan itu berlangsung di atas permukaan litar basah.

Seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang beraksi bersama pasukan Honda Asia tampak menampilkan sikap berhati-hati apabila mencatat masa ke-30 terpantas.

"Saya berusaha keras bersama pasukan untuk mendapatkan pelarasan yang terbaik. Jentera semakin mudah untuk dikendalikan selepas kami melakukan beberapa perubahan dan saya juga berusaha untuk menyesuaikan dengan keadaan.

"Kami akan terus bekerja keras untuk mendapatkan yang terbaik," kata Hafizh yang catatan terbaiknya 1 minit 51.468s dilakukan pada sesi pertama.

Berita Harian X