Ahad, 14 Mei 2017 | 10:07pm

EPL: Hull tersingkir, Palace terselamat

PEMAIN Crystal Palace meraikan kemenangan. - Foto Reuters
PEMAIN Crystal Palace meraikan kemenangan. - Foto Reuters

LONDON: Hull City tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dibelasah Crystal Palace 4-0 pada aksi di Selhurst Park, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Crystal Palace terselamat dan terus kekal dalam saingan musim depan manakala Hull bakal beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan.

Anak buah Marco Silva memerlukan kemenangan untuk terus kekal bersaing dalam kancah utama bola sepak Inggeris itu, namun jaringan Wilfried Zaha, Christian Benteke, Luka Milivojevic serta Patrick van Aanholt mengecewakan mereka.

The Tigers mengiringi dua lagi pasukan yang sudah tersingkir awal sebelum ini iaitu Sunderland dan Middlesbrough.

Palace hanya memerlukan satu mata untuk terselamat dan penguasaan permainan yang ditunjukkan menyempurnakan misi menyelamat oleh Sam Allardyce selepas dia turut menyelamatkan Sunderland musim lalu.

Hull yang cuma memenangi satu perlawanan di Palace dalam tempoh 32 tahun itu gagal beraksi baik apabila Zaha menghukum kesilapan pertahanan untuk menyumbat gol pembukaan seawal minit ketiga.

Nasib Hull seakan sudah ditentukan pada minit ke-34 apabila Benteke menyudahkan hantaran Jason Puncheon dengan tandukan jarak dekat menewaskan Eldin Jakupovic.

Pelawat cuba bangkit namun hasrat mereka kian sukar apabila Milivojevic meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti selepas Michael Dawson menjatuhkan Jeffery Schlupp.

Van Aanholt melengkapkan detik bergaya buat Palace dengan percubaan jarak dekat pada minit ke-90 untuk gol keempat tuan rumah. - AFP

Berita Harian X