Ahad, 7 Mei 2017 | 1:42pm

Affindi, Faherina juara cabaran DITR 2017

MOHAMAD Affindi Nudin (kiri) dan FFaherina Mohd Esa  bersama hadiah masing masing di Padang Majlis Perbandaran Selayang (MPS). - Foto Owee Ah Chun
MOHAMAD Affindi Nudin (kiri) dan FFaherina Mohd Esa  bersama hadiah masing masing di Padang Majlis Perbandaran Selayang (MPS). - Foto Owee Ah Chun

BATU ARANG: Mohamad Affindi Nudin membuktikan kejaguhannya masih sukar ditandingi apabila menjuarai kategori lelaki terbuka cabaran larian lasak Deuter International Trail Run 2017 (DITR) buat kali kelima berturut-turut di sini, sebentar tadi.   

"Saya bersyukur kerana dapat mempertahankan gelaran juara DITR untuk kali kelima berturut-turut.

"Kemenangan ini membakar semangat dan motivasi saya untuk terus berjaya dalam acara larian lasak lain, terutama Sultan Ahmad Shah Tioman International Eco Challenge pada minggu depan," kata Affindi yang menamatkan larian dalam masa 53 minit.  

Faherina Mohd Esa pula menepati ramalan apabila menamatkan larian dalam masa 1 jam 16 saat untuk menjuarai kategori wanita terbuka.

Kejayaan Affindi dan Faherina itu membolehkan masing-masing membawa pulang pelbagai hadiah termasuk beg jenama Deuter dan seutas jam berjenama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5,000.   

Kedua-duanya menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Malek Noor dan Timbalan EXCO Selangor, Gan Pei Nei.

Sementara itu, Malek yang juga bekas jaguh bina badan negara gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peserta dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, selaku penganjur pihaknya bercadang mengadakan lebih banyak acara sampingan termasuk sukan rakyat dan bola sepak padang bagi memeriahkan lagi DITR tahun depan.

Berita Harian X