Jumaat, 5 Mei 2017 | 5:20pm

Hak BWF beri wild card pada Chen Long

CHEN Long. - Foto AFP
CHEN Long. - Foto AFP

PUTRAJAYA: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhak memberi tiket wild card kepada juara Olimpik, Chen Long untuk menyertai Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland dan keputusan itu wajar dihormati.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pihaknya menerima keputusan badan induk itu membabitkan juara dunia 2014 dan 2015 itu untuk kejohanan yang akan berlangsung 21 hingga 27 Mei ini.

Kejohanan Dunia tidak dianjurkan pada tahun Sukan Olimpik dilangsungkan dan tahun lalu, ia memberi laluan kepada Sukan Olimpik Rio di Brazil.

"Itu terpulang kepada BWF kerana ia hak mereka. Yang pasti, (pemain) kita harus sedia bertemu dengan sesiapa saja," katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis penyerahan penajaan syarikat petroleum negara, PETRONAS selaku penaja platinum untuk iaitu Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 di sini, hari ini.

BWF melalui satu kenyataan semalam memaklumkan ia memberi tiket wild card kepada Chen Long untuk menyertai Kejohanan Dunia setelah mengambil kira status pemain berkenaan sebagai juara dunia dan Olimpik.

Chen Long terlepas tiket kelayakan automatik pada Kejohanan Dunia berdasarkan ranking dunia pada 27 April, iaitu tarikh akhir menentukan pemain yang layak ke kejohanan tahunan itu.

Dia sekadar berada di ranking kesembilan, iaitu pemain keempat China di belakang Shi Yuqi (lima), Tian Houwei (tujuh) dan Lin Dan (lapan).

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia mengesahkan tiket secara merit ke Kejohanan Dunia, bersama beberapa lagi pemain seperti Viktor Axelsen dan Jan O Jorgensen, kedua-duanya dari Denmark serta Son Wan Ho dari Korea Selatan. - BERNAMA

Berita Harian X