Khamis, 4 Mei 2017 | 8:49pm

BWF beri Chen Long tiket wild card ke Glasgow

Chen Long. - Foto AFP
Chen Long. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Mengambil kira status Chen Long sebagai penyandang gelaran Sukan Olimpik dan juara dunia, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberikan jaguh China itu slot wild card pada Kejohanan Dunia 2017 di Scotland, 21 hingga 27 Ogos ini.

BWF dalam kenyataan hari ini, berkata dengan menggunakan hak menamakan pemain wild card dalam setiap kategori, badan induk itu memutuskan memilih pemain berusia 28 tahun itu berdasarkan status dan tarikannya kepada penonton untuk menghangatkan kejohanan di Arena Emirates di Glasgow itu.

Chen Long memenangi gelaran perseorangan lelaki pada dua edisi terakhir Kejohanan Dunia, serta pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Dia terlepas tiket kelayakan automatik pada Kejohanan Dunia 2017 berdasarkan ranking dunia BWF pada 27 April - iaitu tarikh ranking itu dikeluarkan untuk menentukan pemain yang layak ke Kejohanan Dunia kali ini.

Chen Long sekadar di ranking kesembilan, iaitu pemain keempat China di belakang Shi Yuqi (lima), Tian Houwei (tujuh) dan Lin Dan (lapan).

Menurut BWF, setiap anggota gabungan hanya boleh menyenaraikan empat pemain jika mereka berada dalam kelompok lapan teratas, tiga pemain jika di kedudukan sembilan hingga 24 terbaik, atau dua wakil sekiranya di kedudukan 25 hingga 150 terbaik.

Ini adalah satu-satunya tiket wild card yang diberikan oleh BWF untuk Kejohanan Dunia 2017.

Antara pemain perseorangan lelaki terbaik dunia yang layak secara merit ke kejohanan itu adalah pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, Viktor Axelsen dan Jan O Jorgensen dari Denmark; Son Wan Ho (Korea Selatan); Shi Yuqi, Tian Houwei dan Lin Dan (China); serta Chou Tien Chen dari Taiwan. - BERNAMA

Berita Harian X