Jumaat, 28 April 2017 | 11:51am

Sampaoli jadi pilihan bimbing Argentina

Jorge Sampaoli
Jorge Sampaoli

BUENOS AIRES: Jurulatih Sevilla, Jorge Sampaoli menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) untuk mengambil alih skuad kebangsaan negara itu bagi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

"Sampaoli adalah salah satu yang dipilih," kata Presiden AFA, Claudio Tapia kepada ESPN yang memecat jurulatih Edgardo Bauza selepas pemilihannya selaku pemimpin persatuan berkenaan bulan lalu.

Tapia berkata AFA akan berunding dengan Sevilla untuk melepaskan Sampaoli daripada kontraknya apabila musim liga di Sepanyol berakhir bulan depan.

Berbaki empat perlawanan kelayakan lagi, Argentina berada di tempat kelima dalam kumpulan Amerika Selatan, yang akan meletakkan mereka dalam perlawanan penentuan antara benua, manakala empat pasukan teratas layak secara automatik. - Reuters

Berita Harian X