Isnin, 27 March 2017 | 6:34pm

Atlet boleh mula guna venue Sukan SEA

DATUK Seri Zolkples Embong. - Foto Owee Ah Chun
DATUK Seri Zolkples Embong. - Foto Owee Ah Chun

PUTRAJAYA: Atlet kebangsaan berpeluang menyesuaikan diri dengan beberapa venue pertandingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila pihak kontraktor membuat serahan kepada Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) pada Mei atau Jun ini.

Tanpa menyatakan jenis sukan terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, beberapa venue pertandingan yang dinaik taraf terutamanya di Bukit Jalil boleh digunakan untuk kejohanan pra Sukan SEA ke-29.

"Pertandingan itu bergantung kepada jenis sukan. Tujuan utama kita adakan kejohanan pra sukan ini adalah untuk menguji kemudahan dan peralatan yang terdapat di venue pertandingan selain menguji sistem pemarkahan dan sebagainya.

"Kita juga mahu menguji pegawai teknikal. Kalau boleh diadakan di venue sebenar, ia akan membantu kita mencapai beberapa matlamat yang kita sasarkan," katanya.

Zolkples ditemui pemberita selepas hadir pada majlis penyampaian penajaan Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) kepada KL 2017 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

PAMB muncul sebagai penaja kategori perak bagi Sukan SEA yang akan berlangsung dari 19-31 Ogos dan Sukan Para ASEAN bermula 17-23 September, di mana syarikat insurans itu akan menyediakan perlindungan insurans bagi 13,000 sukarelawan dan juga wang tunai bagi KL 2017.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berterusan di kesemua venue pertandingan bagi memastikan kerja-kerja menaik taraf menepati standard yang ditetapkan Persekutuan Sukan SEA (SGF).

MASOC juga akan menyewa beberapa venue untuk Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ke-9 memandangkan venue itu dimiliki oleh pihak swasta seperti Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Jalan Tuanku Abdul Halim dan Empire City di Damansara.

Bernama difahamkan beberapa venue lain sudah mula digunakan atlet negara termasuk di Sunway Pyramid (tenpin boling), Stadium MABA di Jalan Hang Jebat (bola keranjang), Kinrara Oval di Puchong (kriket), Kompleks Sukan Air Putrajaya (triathlon, ski air dan papan luncur air). - BERNAMA.

Berita Harian X