Isnin, 27 March 2017 | 7:27am

Belanda pecat Blind

DANNY Blind. - Foto AFP
DANNY Blind. - Foto AFP

AMSTERDAM: Danny Blind dipecat daripada jawatan selaku jurulatih Belanda, hari ini susulan kalah 2-0 kepada Bulgaria menyebabkan peluang Oranje mara ke pusingan akhir Piala Dunia semakin tipis.

Kekalahan di Sofia, kelmarin menyebabkan Belanda berada di kedudukan keempat kelayakan Kumpulan A, enam mata di belakang pendahulu Perancis.

Hanya juara kumpulan layak automatik ke pusingan akhir 2018 di Russia.

"Kami berada di landasan yang betul di Bulgaria, tetapi menyedihkan ia berakhir seperti ini," kata Blind, yang mengetuai pasukan itu sejak Julai 2015, menggantikan Guus Hiddink.

Pembantu Blind, Fred Grim, akan mengambil alih pasukan itu bagi saingan persahabatan menentang Itali di Amsterdam, esok, kata Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB).

"Kami (persekutuan) sangat menghormati Danny, namun disebabkan keputusan yang negatif dan peluang kami layak ke Piala Dunia 2018 tipis, kami mesti berpisah dengannya," kata kenyataan KNVB.

Belanda, tiga kali naib juara Piala Dunia, juga gagal layak ke Euro 2016. - AFP

Berita Harian X