Ahad, 26 March 2017 | 3:11pm

SAFA ikrar bantu TMJ

TAWAU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan memberi kerjasama penuh kepada kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diterajui Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, demi kemajuan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata beliau yakin kepemimpinan baharu FAM akan memberi perhatian terhadap pandangan dikemukakan setiap ahli gabungan demi meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.

MENTERI Belia dan Sukan Sabah merangkap Timbalan Presiden 1 SAFA, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. - Foto Malai Rosmah Tuah
MENTERI Belia dan Sukan Sabah merangkap Timbalan Presiden 1 SAFA, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Katanya, pemilihan Naib Presiden SAFA, Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai seorang daripada empat Naib Presiden FAM dalam kongres badan induk itu kelmarin, beliau yakin pandangan dari SAFA juga akan diberikan perhatian oleh TMJ dan pucuk pimpinan FAM.

"Kita mengalu-alukan pelantikan TMJ selaku presiden FAM yang dibantu barisan saf kepemimpinan baharu. Mereka patut diberi peluang dan ruang seluasnya untuk memajukan bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.

"Kami yakin kesungguhan dan komitmen TMJ (menerajui FAM) kerana sebelum ini terbukti beliau berjaya membentuk pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) digeruni bukan saja dalam saingan liga tempatan, malah sehingga ke peringkat Asia.

"Sudah pasti pengalaman sama juga akan digunakan oleh TMJ untuk memajukan bola sepak Malaysia. Kami di Sabah memberi sokongan padu kepada beliau," katanya kepada media selepas merasmikan program Gerak Industri Kecil dan Sederhana (IKS) SDC 2017 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini.

 

Berita Harian X