Ahad, 26 March 2017 | 3:00pm

KPBJDT sambut baik pelantikan TMJ

PRESIDEN FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal pada sidang media Kongres ke-53 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Hotel Hilton. - Foto Osman Adnan
PRESIDEN FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal pada sidang media Kongres ke-53 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Hotel Hilton. - Foto Osman Adnan

JOHOR BAHRU: Pelantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) yang baharu disambut baik Kelab Penyokong Bola sepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT).

Presiden KPBJDT, Azman Jalil nyata teruja dengan usaha Tunku Ismail yang ingin memastikan bola sepak menjadi hak milik rakyat dan mahu memastikan apa juga perkembangan mengenai persatuan itu akan dimaklumkan kepada peminat bola sepak negara.

Katanya, pelantikan muka baharu menjawat jawatan exco dalam badan induk bola sepak negara, sudah tiba masanya satu Jawatankuasa Pengurusan Kelab Penyokong diwujudkan bagi menyelaras maklumat untuk penyokong mengetahui perkembangan terkini perancangan FAM selain dapat menyatupadu kelab-kelab penyokong di seluruh negara.

"Kita tahu Tunku Ismail kerap mengadakan perjumpaan dengan penyokong bola sepak dan ia menjadi amalan di kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dan saya lihat kewujudan jawatankuasa kelab penyokong amat perlu bagi menjadi `jambatan' antara FAM dan penyokong bola sepak tanah air.

"Sebelum Tunku Ismail menang tanpa bertanding jawatan tertinggi FAM itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan penyokong di Kuala Lumpur dan sambutan amat menggalakkan malah sebaik dilantik beliau tetap mengadakan pertemuan dengan penyokong bola sepak sekali gus menunjukkan ketelusan kepimpinan baharu FAM.

"Pelantikan Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi sebagai Timbalan Presiden FAM juga dilihat mampu merealisasikan aspirasi Tunku Ismail yang mahu memulihkan imej bola sepak negara," katanya ketika dihubungi.

Azman juga berpendapat sekiranya Jawatankuasa Pengurusan Kelab Penyokong diwujudkan maka segala urusan sama ada pertemuan dengan Presiden FAM bersama kelab penyokong akan lebih tersusun.

Tambahnya, sebagai penyokong kepada pembaharuan bola sepak di bawah kepimpinan baharu FAM, kelab penyokong akan sentiasa bersedia memberi kerjasama bagi merealisasikan transformasi yang bakal dilakukan Tunku Ismail.

"Kami tahu perubahan dalam FAM tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat dan apa yang diperkatakan Tunku Ismail betapa bakal ada pembaharuan jangka masa pendek dan panjang sudah cukup beri gambaran keinginan beliau mahu mengubah landskap bola sepak negara," kata Azman.

Berita Harian X